Thursday, November 27, 2008

Mencari Suami yang 'Original'- Satu Muqaddimah

Mencari Suami Mithali, Suami Sejati, Suami Asli, Suami Tulen, Suami Original(‘Ori’) , Suami Sebenarnya… - Satu Muqaddimah

Muqaddimah

Tajuk Blog ini juga mempunyai perkataan mencari, ia menggambarkan satu proses yang terus berjalan dan selagi manusia hidup ia akan terus mencari sesuatu sehingga bertemu Allah satu hari nanti. Dan yang lebih penting, manusia yang masih hidup, masih ada peluang ini. Pencarian membuatkan manusia sentiasa sedar dan berhati-hati. Pencarian ini, bukan seperti mencari barang yang hilang, yang bila dah bertemu, maka selesai sesuatu urusan. Pencarian dalam hidup ini satu perjalanan. Rasulullah menggambarkan hidup manusia ini seperti seorang yang sedang bermusafir ketempat yang jauh, singgah sebentar di satu tempat untuk menyediakan bekalan dan akan menyambung perjalanan seterusnya. Bahkan Baginda menyifatkan dunia ini hanya tempat bercucuk tanam dan hasilnya dikutip di akhirat nanti. Artikel ini cuba mengajak pembaca bersama-sama membuat pencarian ini khususnya para lelaki dan suami. Saya akan mengemukakan dulu falsafah pencarian dalam hidup kita ini sebelum secara khusus terhadap pencarian suami yang ‘Ori’ dalam artikel berikutnya.
PRINSIP DAN FALSAFAH PENCARIAN
Secara prinsipnya hidup ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, untuk mendapat keredoaanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya. Cara atau kaedah telah disediakan oleh Allah melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Rasulullah juga telah dijadikan sebaik-baik contoh untuk diikuti.
Stesyen TV juga menganjurkan banyak program pencarian, seperti mencari gadis Melayu yang saya tak pasti kriteria yang dipakai, boleh baca Al-Quran, boleh makan sireh, boleh main batu selambut, boleh memasak, boleh melayan orang tua, boleh duduk berselimpuh dan lain-lain.? Sebelum inipun dah ada rancangan mencari menantu, rasanya tidak berjaya mempertemukan jodoh kepada wanita berkenaan. Rancangan yang hampir sama juga diadakan di Barat dan sudah tentu kriterianya berbeza sampai boleh digauli secara bebas untuk menentukan siapa yang paling sesuai sebagai suami wanita berkenaan. Yang penting ada kriteria tertentu dalam proses pencarian ini.
Sebagai Muslim kita juga dalam proses pencarian. Mencari kesempurnaan dalam hidup. Sebagai manusia sifat-sifat kesempurnaan mustahil dimiliki oleh manusia. Hanya Allah yang Maha Sempurna, tetapi manusia dituntut untuk mendapat yang terbaik dalam hidup ini, sekadar yang ia mampu. Menurut aqidah ahli Sunnah, manusia dikurniakan kehendak, akal dan kudrat. Manusia berusaha dan Allah yang tentukan akhirnya. Itu keyakinan kita dan itulah yang mesti terus dilakukan. Allah telah menyediakan ruang yang sangat banyak kepada manusia untuk menyempurkan hidupnya. Manusia diberi peluang untuk beramal mengumpulkan pahala sebagai bekalan dan dibuka pintu-pintu untuk menutup dosa dan kesalahan. Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, para Sahabat Muhajirin yang datang dalam keadaan susah bersama Rasul dari Mekah mengadu kerana peluang untuk mereka melakukan kebajikan adalah terhad kerana tidak punya harta yang banyak seperti Sahabat di kalangan Ansar (di Madinah). Rasulullah menjelaskan bahawa segala bentuk kebaikan seperti berzikir sekalipun boleh menjadi sumbar pahala kepada mereka dan tidak semestinya dengan harta sahaja. Sahabat Muhajirin merasa sedikit kelegaan kerana masih ada peluang yang sama yang menyediakan bekalan ke akhirat.
Manusia dituntut mencari yang terbaik dalam hidupnya. Allah menjelaskan bahawa di akhirat nanti yang berguna hanyalah hati yang sejahtera yang dibawa mengadap Allah. Harta dan anak-anak tidak ada lagi manfaat melainkan amal jariah. Rasulullah menjanjikan bahawa orang yang mendapat Haji mabrur sudah tidak ada dosa lagi seperti hari ia dilahirkan. Orang yang puasa dan solatnya sempurna juga mendapat faedah yang sama. Allah juga menjanjikan semua kebaikan boleh menghapuskan dosa dan amalan dilipat kali ganda pahalanya jika dibuat dengan ikhlas. Peluang dan peringatan ini sentiasa berlegar dalam hidup kita, terpulang samada untuk dimanfaatklan atau tidak sahaja. Pagi semalam, Ust. Zawawi Yusof menyampaikan tazkirah dalam laman Nurani TV3 berkaitan dengan mengumpat sebagai ‘dosa harian’ manusia, dan pagi tadi Ustazah Salbiah bercakap soal sifat bodoh sombong manusia dalam mencari kesempurnaan dalam hidup ini. Rancangan Radio, hampir semua channel bahasa Melayu ada slot agama ini. Rancangan Forum Perdana yang disiarkan saban minggu mendapat rating rancangan agama tertinggi (1.3 juta penonton- Berita Harian 27 Nov. 2008). Bertuahlah ahli panel yang dapat peluang ‘jariah ilmu’ yang amat bermanfaat ini. Saya doakan mereka diberikan kekuatan untuk terus bercakap soal-soal mencari kesempurnaan dalam hidup ini. Mudah-mudahan pada masa akan datang blog ini juga akan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai. Setakat ini hanya saudara mara rapat dan seorang 'sahabat baik' sahaja tahu kewujudan blog ini. Ini sebagai percubaan sahaja untuk menentukan konsep dan halatuju penulisan artikel yang sesuai untuk pembaca awam.
Salah satu rancangan TV yang paling saya minat ialah Asian Food Channel (AFC). Ada dua orang chef memberi tips tentang rahsia masakan mereka dalam mencari kesempurnaan sebagai seorang chef. Dua kenyataan yang masih saya ingat ialah “my secret recipe is that there is no recipe..”, maknanya masak ikut citarasa tanpa perlu ada perancangan yang teliti dan rahsia. Kalau rasa sedap maka sempurnalah juadah tersebut. Seorang lagi chef mengatakan :”the best way to cook a fish is not to..”, maknanya makan ikan secara mentah itu adalah yang terbaik untuk menikmati kesempurnaan rasa ikan. Isteri saya selalu bertanya tentang masakannya, samada Ok atau tidak. Saya selalu sebut rasa masakan itu satu hal, tapi keikhlasan dan kesungguhannya untuk mencari kesempurnaan sebagai seorang isteri itu satu hal yang lain. Selalunya masakannya memang sedap sebab tu niat saya hendak diet selalu gagal, bahkan nak puasa sunatpun fikir dua kali. Rasulullah tidak akan mengkritik masakan isteri Baginda, kalau baginda suka ia akan makan, dan jika tidak hanya dijamah sedikit tanpa sebarang komen, kerana kesempurnaan rumahtangga bukan terletak pada kesedapan makanan isteri, bahkan, memasak itu sendiri, bukan tanggongjawab isteri. Suami kena sediakan orang gaji untuk tugas-tugas ini walaupun amalannya dalam masyarakat kita, isterilah yang sediakan. Demikianlah sebagai manusia kita akan terus mencari….
Saya akan sambung berikutnya bagaimana mencari/menjadi suami yang ‘sempurna’… .. sebenarnya idea belum datang lagi..

Saturday, November 22, 2008

Wahai Isteri..Bagaimana Anda Boleh Menjadi Teman rapat Suami Anda?

JADILAH TEMAN RAPAT SUAMI ANDA... INGATAN KEPADA YANG LALAI..
Artikel ini saya kira yang terakhir sebelum saya mengetuk pintu hati suami pula tentang tanggongjawab dan hubungan dengan isteri masing-masing.
Bagaimana isteri boleh menjadikan dirinya teman rapat suami. Pendapat saya mungkin agak 'konservatif' tetapi saya yakin ianya menepati fitrah manusia. Dalam usaha untuk kembali balik kepada rumahtangga yang dituntut oleh islam, jalan yang paling selamat ialah bersikap konservatif. Walaupun ini bukanlah satu-satunya cara untuk membina keluarga bahagia kerana islam membawa prinsip dan konsep, sedangkan dari sudut pendekatan atau 'approach' tentu tidak sama anta satu keluarga dengan yang lain.
Sebagai isteri sudah tentu , anda mahu menjadi teman rapat pada suami. Tentu anda cemburu kalau suami anda, lebih banyak merujuk kepada orang lain kalau dia ada masalah. Anda juga tentu cemburu kalau suami anda asyik menyebut tentang kelebihan orang lain berbanding diri anda. Anda tentu lebih cemburu kalau yang disebut itu kaum sejenis anda. Malam tadi saya dengar ceramah dari seorang ustaz yang agak terkenal dari Terengganu, kata dia cemburu itu milik suami dan bukan milik isteri. Katanya lagi suami patut cemburu kalau isterinya tidak mengikut hukum agama. Tapi katanya lagi isteri tak patut cemburu kalau suaminya ada hubungan dengan wanita lain kerana suami boleh beristeri lebih dari satu. Saya sangat tak setuju dengan kenyataan ini dan isteri saya juga mengakuinya. Isteri juga berhak cemburu meskipun Islam membenarkan suami kahwin ramai, kerana itu fitrahnya, tapi perlulah dalam kawalan agama juga.
Semasa artikel ini ditulis, isteri saya berada di samping saya, dan begitulah selalunya, beliau adalah teman rapat saya saya dan sentiasa memberikan pandangan dalam semua hal yang melibatkan rumahtangga. Saya selalu bertanya beliau tentang hal-ehwal suami isteri dan beliau sangat berterus terang dalam hal ini dan itulah yang menggembirakan saya kerana antara saya dengan isteri saya tidak ada 'hijab' lagi tentang hal ini, bahkan saya selalu berbincang tentang soal poligami dengan dia, tentu dia tak setuju dan sayapun sependapat dengannya.....
Berbalik kepada bagaimana isteri boleh jadi teman rapat suami... Hubungan suami isteri boleh saya bahagikan kepada jenis2 berikut:
1. Suami isteri yang sudah lama bercinta sebelum kahwin. masing2 sudah kenal hati budi masing-masing. Biasanya tidak mengambil masa yang panjang untuk pasangan ini benar-benar menjadi teman rapat
2. Suami isteri yang dipilih oleh keluarga dan hanya ada sedikti kesempatan untuk mengenali hati budi masing-masing. Biasanya pasangan ini mengambil masa yang agak lama untuk membuka 'hijab' antara keduanya. 'Hijab' disini bukan fizikal tapi hijab hati dan perasaan antara satu sama lain.
3. Suami isteri yang sudah kenal sebelum kahwin tapi tidak betul2 mengenali pasangan. Maklumlah semasa bercinta banyak perkara yang masih terselindung. Bila berkahwin baru terbuka banyak 'rahsia' dan kalau tak kena gayanya dalam masa yang singkat sahaja rumahtangga ini boleh hancur. Begitu juga pasangan ini berkahwin kerana persiapan sudah banyak dibuat, 'orang kampungpun semua dah tahu', atau lain2 faktor yang akhirnya merekapun berkahwin dalam keadaan 'sedar atau tidak'. Sedar2, sudah menjadi isteri orang.
PERKAHWINAN SEBAGAI TITIK PERUBAHAN BESAR DALAM HIDUP
Perkahwinan memang satu 'perjudian' yang sangat besar. Ia adalah 'corner-stone' yang terbesar dalam sesebuah kehidupan. Ramai orang yang menjadi berubah selepas berkahwin kerana mendapat pasangan yang mengubah hidupnya. Ada perubahan kepada yang lebih baik dan tidak kurang juga yang menjadi semakin jauh dari agama.
Sekali lagi saya ingatkan diri saya, islam menuntut perkahwinan untuk 4 sebab: i) memenuhi fitrah manusia, ii) mengembangkan keturunan dan keluarga, iii) memelihara diri dari maksiat, iv) menyempurnakan hidup sebagai insan yang bertaqwa kepada Allah.
MACAMMANA NAK JADI TEMAN RAPAT SUAMI
Bila saya sebutkan isteri menjadi teman rapat suaminya, maka keempat2 matlamat di atas mesti dapat dicapai. Isteri boleh menjadi teman rapat suami antara lain melalui pendekatan berikut:
1. Sentiasa ingat akan matlamat mengapa ia berkahwin dengan seseorang lelaki. Dengan ingatan ini isteri akan berusaha untuk menyempurnakan tanggongjawabnya sebagai isteri.
2. Sentiasa berada dalam keadaan bersedia 'menyerahkan' diri kepada suaminya dan memikirkan kepentingan suami melebihi dari kepentingan dirinya sendiri.
3. Sentiasa membantu suami untuk menyempurnakan tanggongjawabnya sebagai suami. Suamipun banyak kekurrangan yang perlu dibantu. Bantulah suami dengan ikhlas kerana beliau perlu juga memikul bebanan ke atas apa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anak. Isteri kena sentiasa sedar bahawa apa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anak juga terpaksa dipikul oleh suami.
4. Selalu mengambil tahu masalah suami dan mencari jalan menyelesaikannya. Isteri boleh menjadi 'pendengar ' yang baik kepada suami walaupun tidak dapat memberikan penyelesaian yang spesifik. Kadang kala pandangan yang umum dan bersifat 'fundamental' sudah cukup membawa suami kepada kepada titik penyelesaian masalah yang besar. Dengan sebab itu juga kita sentiasa diingatkan supaya merujuk kepada ibu/bapa bila ingin melakukan sesuatu yang besar seperti nak beli rumah, kereta, memohon kerja, berkahwin dan lain2 kerana restu dan pandangan mereka walaupun ' tidak spesifik' dan bersifat umum tetapi pasti memberi keberkatan yang tidak terduga. Begitulah dengan isteri, pandangan ikhlas mereka bakal membuka dimensi baru kepada suami dalam menyelesaikan masalah.
5. Bagi isteri yang bekerja, masa cuti, sebolehnya, janganlah diisi dengan aktiviti yang tidak melibatkan suami. Isteri yang bekerja berada sekurang2nya 8 jam dipejabat bersama rakan sekerja. Waktu ini sebenarnya lebih panjang dari masa bersama pasangan masing-masing dalam keadaan 'sedar'. Kalau anda terpaksa berpisah degnan suami kerana tugas untuk jangka waktu yang panjang, cubalah menilai perasaan anda. Adakah anda rindu padanya dan ingin segera berjumpa selepas tugas ini untuk berkongsi sesuatu?. Adakah anda ingin mendapatkan sesuatu sebagai tanda ingatan kepadanya setelah lama tak jumpa?Kalau ada perasaan ini, Alhamdulillah, anda sebagai isteri berada pada landasan yang betul untuk menjadi teman rapat suami. Kalau anda tidak rasa apa-apa, atau mencari jalan untuk mengelak dari bertemu dengannya dalam masa terdekat, maka keadaan ini perlu dibimbangkan. Kalau anda sebagai isteri lebih suka dan selesa berada bersama rakan-rakan pejabat, atau selalu 'out-station' jauh dari suami, maka buatlah sesuatu untuk memperbaiki hubungan dengan suami anda.
6. Keikhlasan dan kejujuran adalah intipati penting dalam hubungan suami-isteri. Sentiasalah bercita-cita untuk menjadi ketua bidadari kepada suami anda di syurga nanti. Hubungan sebagai isteri tidak berakhir di dunia ini sahaja. Sentiasalah bersangka baik dengan suami, jangan cemburu 'buta', jangan mencari-cari kesalahan suami, jangan menyimpan dendam terhadap kesilapan dan keterlanjuran yang suami pernah lakukan, sentiasa maafkan suami, lapangkan dada untuk suami, sentiasa ingat bahawa kalau isteri sentiasa positif kepada suami, insyaAllah suami akan memperbaiki diri dan tidak akan tergamak mengkhianati keikhlasan/kejujuran isteri. Sentiasa ingat bahawa semua perasaan yang negatif adalah 'hijab' atau dinding antara anda dan suami anda. Bukalah 'hijab' itu sedikit demi sedikit. Kadangkala ia mengambil masa kerana hati dan perasaan bukan boleh diubah sekelip masa. Memang benar, hati dan perasaan isteri yang terluka memakan masa untuk sembuh, tapi ingatlah walaupun parut luka masih ada, Allah sentiasa menyediakan ruang dalam hati masing-masing untuk dihuni oleh suami dan isteri. Gunalah ruang itu sebaik mungkin, ingatlah, sesuatu yang dilakukan sepenuh hati pasti akan singgah dalam hati pasangan anda. Antara suami dan isteri ada gelombang perasaan yang tidak dapat ditipu walaupun lidah berkata sebaliknya...
7. Sentiasalah ingatkan suami tentang hal ehwal agama. Ajaklah suami untuk melakukan ibadat bersama-sama. Kalau Rasulullah mengejutkan isteri Baginda untuk bertahajud, mengapa anda sebagai isteri tidak boleh melakukan perkara yang sama kepada suami anda. Sekarang ini banyak masjid/surau menganjurkan qiyamullayl secara berjemaah di masjid bersama rakan-rakan. Cubalah melakukan ibadat yang sama dengan suami anda di rumah. Sekali sekala, ajaklah suami anda untuk bertahajjud di rumah pula. Kalau suami anda saban minggu membaca Yasin di masjid malam Jumaat, sekali sekala ajaklah dia baca Yasin dengan anda dan anak2 di rumah. Perubahan yang sedikit ini boleh membawa suasana yang berbeza dalam rumahtangga,cubalah... Suami isteri yang sama-sama berusaha mendekatkan diri dengan Allah pasti boleh menjadi teman yang amat rapat antara satu sama lain.
Dalam satu senario yang lain, katakanlah suami bukan ahli ibadat, tak sukapun ke masjid apatah lagi hendak bertahajud dan baca yasin dengan anda di rumah, apakah tindakan yang patut anda sebagai isteri lakukan dalam keadaan ini.? Banyak cara yang anda boleh buat selain menasihati suami yang memang degil, berdoalah dengan penuh rasa takut dan pengharapan kepada Allah, jika keadaan semakin sukar, mohonlah campurtangan ibubapa khususnya, dan jika keadaan sangat parah seperti suami tidak sembahyang, suami ahli maksiat dan lain2, maka langkah terakhir adalah dengan merujuk kepada pihak berkuasa (aspek yang melibatkan perundangan akan saya sentuh kemudian). Yang penting, dalam keadaan ini anda harus menunjukkan sikap yang positif, bersabar dan semakin berusaha untuk mendekati suami anda. Berdoalah dengan menyebut nama suami anda di hadapan Allah, mintalah Allah memberi taufiq kepada suami anda. Menangis dan bermunajatlah kepada Allah serta memohon ampun, atas kesalahan anda dan suami anda. Kalau keadaan tidak dapat dipulihkan sekalipun, apa yang berlaku akan menjadi batu loncatan kepada anda untuk mempertingkatkan status anda di sisi Allah Subhanahuwataala. Allah mendengar doa anda dan pasti dimakbulkan, samada di dunia atau diakhirat nanti atau Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Jangan sekali-kali menjauhkan diri dari suami anda dalam keadaan ini, kecuali sudah sampai kepada keadaan yang diizinkan Syarak. Ingatlah, menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan Hukum Syarak perlulah dengan menggunakan kaedah yang ditentukan oleh Allah juga. Jika masalah ini cuba diselesaikan dengan kaedah yang lain, pastilah masalah asal tidak selesai, anda juga akan menjadi semakin jauh dari Allah, bak kata, yang dikejar tak dapat , yang digendung keciciran pulak!
Ini merupakan antara perkara yang anda boleh buat. Saya rasa semua orang dahpun tahu tapi untuk menghayatinya bukan mudah. Cubalah melakukan perubahan dalam hubungan anda dengan suami anda, pasti anda akan merasakan kesannya, InsyaAllah......cubalah

Tuesday, November 11, 2008

Wahai Isteri.. Adakah Anda Teman Rapat Suami Anda...?

Wahai Isteri.. Adakah Anda Teman Rapat Suami Anda..?
Keterangan Al-Quran
Sekali lagi saya ulangi Firman Allah dalam surah al-Rum : Ayat 21 yang menyebut kedudukan isteri sebagai tempat suami besenang hati, bermesra, kasih sayang dan belas kasihan. Perkara yang sama ditegaskan oleh Allah dalam Surah Al-A’raf: Ayat 189 yang bermaksud: “Dialah Allah yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan dari hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang-senang (bertenang tenteram) satu diri kepada yang lain” (Terjemahan Tafsir Pimpinan Al-Rahman, Dar al-Fikr, K.L., 2000)
Dalam kedua-dua ayat ini Allah gunakan perkataan ‘litaskunu ilayha’ dan ‘liyaskuna ilayha’ yang membawa maksud perasaan senang dan tenteram. Perkataan ini dari bahasa arab ‘sakana’, ‘yaskunu’, ‘sukunan’ iaitu dari maksud literalnya sebagai sesuatu yang tidak bergerak, berdiam dan lain2 situasi yang tenang. (Kamus Besar Arab-Melayu, DBP, 2006)
Isteri Sebagai Pasangan Kepada Suami
Kedua-dua ayat ini menggambarkan isteri itu adalah tempat suami mendapat ketenangan dan kesukaan. Anda sebagai suami, adakah memperolehi perasaan ini.? Begitu juga anda sebagai isteri, adakah berjaya menghidupkan suasana ini dalam rumahtangga?. Dengan sebab itu, samada isteri itu mempunyai kerjaya di luar rumah atau suri rumah sepenuh masa, kewajipan mengujudkan suasana dan persekitaran ini tetap menjadi tanggongjawabnya. Dengan sebab itu Rasulullah menyebut yang mafhumnya, isteri itu pengurus/pengelola (ra'iyah) rumahtangga dan akan disoal atas tanggongjawab berkenaan. Saya tidak membezakan samada isteri itu berkerjaya atau tidak, kerana, untuk mengujudkan suasana ini tidak semestinya si isteri itu berada sepenuh/sepanjang masa di rumah. Ada juga rumahtangga yang sudah ada tidak ada kasih sayang walaupun si isteri itu suri rumah sepenuh masa. Dalam masa yang sama, seseorang isteri yang berkerjaya dan mempunyai pembantu rumahpun, berjaya mengujudkan suasana kasih sayang dan ketenangan kepada suaminya. (saya akan sentuh soal isteri berkerjaya dalam artikel lain). Adalah jelas isteri itu pasangan kepada suami, yang melengkapi hidup seseroang lelaki.. anda bagaimana?
Satu pertanyaan kepada para suami...adakah isteri anda merupakan teman rapat anda? Adakah anda suka menghabiskan masa dengannya? Adakah anda boleh berkongsi kebanyakan perkara dengannya? Adakah anda sentiasa mencari-cari waktu untuk bersamanya? Adakah anda berasa rindu jika tak dapat berjumpa walaupun dalam waktu yang singkat? Adakah anda akan melebihkannya dari yang lain? Adakah anda sanggup berkorban apa sahaja untuknya? Adakah anda merasakan rumah perkahwinan (tempat tinggal suami-isteri) adalah tempat yang paling selesa dan jika tiada apa-apa urusan, anda akan berada di rumah? Banyak lagi pertanyaan yang menggambarkan isteri itu seseorang yang rapat dengan anda. Yang pentingnya ialah, teman rapat merupakan orang yang kita berasa selesa dan tenang bersamanya.
Sebenarnya, tidaklah menjadi kesalahan jika kita mempunyai ramai teman rapat samada dengan rakan sekerja di pejabat, dengan adik beradik atau dengan jiran tetangga. Teman-teman rapat selain isteri ada kedudukan dan peranan masing-masing dalam hidup kita tetapi sepatutnya tidak mengatasi status dan kedudukan isteri. Isteri mesti diletakkan ditempat yang paling istimewa dan mengatasi hubungan-hubungan yang lain. Ada yang bertanya bagaimana hubungan anda dengan ibu anda?, kalau sudah dilebihkan isteri. Isteri dan ibu adalah dua insan yang amat istimewa tetapi berada pada status yang berbeza. Penilaian status ini boleh diukur melalui hak dan tanggongjawab. Jika kita tahu apakah hak dan tanggongjawab keatas isteri , dan kita mengetahui hak dan tanggongjawab keatas ibu, maka tidak akan berlaku pertembungan antara keduanya. Demikian juga tiap-tiap individu yang lain, yang menjadi teman rapat seseorang lelaki perlu dilandaskan atas prinsip hak dan tanggongjawab ini. Memang kadangkala wujud juga konflik anda individu2 ini dan dengan sebab itu, banyak jumlah perceraian berlaku akibat campurtangan keluarga. Kadangkala kehendak ibu / ayah dan keluarga tidak selaras dengan kehendak suami. Secara idealnya suami perlu dilebihkan, tetapi jangan sampai derhaka kepada si ibu. Berhadapan dengan isu semacam ini seperti berjalan di jalan yang penuh dengan duri, hati2 dan cermat agar matlamat yang dituju dapat dicapai, duri tidak melukakan kaki. Saidina Umar bila ditanya tentang maksud 'taqwa', lantas beliau menjawab 'taqwa' itu seperti seorang yang berjalan di laluan yang penuh dengan duri, maka perlu cermat dan berhati-hati. Perasaan cermat dan berhati-hati terhadap hukum hakam itu sebenarnya adalah taqwa.

Tidak ada orang yang lebih faham akan suaminya, lebih dari isteri. Ada suami anggap dia boleh rahsiakan sesuatu dari isterinya hingga ada orang kata 'kalau pandai makan, pandailah simpan', tapi saya juga yakin si isteri punya gerak rasa yang amat halus dan boleh menilai hati budi suaminya. Kebaikan seseorang lelaki itu boleh dinilai melalui hubungannya dengan isterinya. Sebab isteri berada di samping suami pada masa dan saat yang orang lain tidak boleh berada dengannya. Isteri juga akan berada dengan suami pada masa orang lain lari menyisihkan diri. Tengoklah orang politik masakini, ketika jatuh dari jawatan politik, ketika dipijak oleh bekas rakan dan lawan, ketika tidak ada kuasa dan wang, isteri tetap menjadi teman. Rasulullah sentiasa terkenang pada Khadijah kerana pada pada baginda dipulaukan di awal Islam, Khadijah bersama dengannya. Ketika kesukaran menerima wahyu, Khadijah bersamanya.
Anda sebagai isteri, bagaimana boleh menjadi teman rapat kepada suami anda? Bersambung........

Wednesday, November 5, 2008

Sambungan...Sumber Kegembiraan Isteri?

Sambungan..... Muhasabah Perkahwinan: Siapa Sumber Kegembiraan Anda 3 – Isteri?
Isteri Sebagai Tanda Kebesaran Allah...
Allah menjelaskan dalam Surah Al-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang mahu berfikir” (Terjemahan oleh Yayasan Penyelenggara Penerjemah, Departemen Agama Republik Indonesia-PT Syaamil Cipta Media)
Ayat ini tidak asing lagi kita kerana dalam kad jemputan kahwin tentu ia dimasukkan, tak pastilah samada ingatan kepada pasangan yang akan kahwin atau kepada kepada orang yang dijemput. Sama seperti sticker doa naik kenderaan yang dilekat di cermin belakang kereta, samada ingatan kepada pemandunya atau kepada yang mengekori di belakang. Apapun keadaannya, sesiapa sahaja yang membaca perlu berfikir kerana ayat itu diakhiri dengan ingatan Allah bahawa tanda-tanda ini hanya akan memberi kesan kepada orang yang mahu berfikir. Saya akan cuba befikir tentang hal ini dan mengajak pembaca semua juga berfikir.
Tanda-tanda kebesaran Allah itu banyak, ada yang dibaca iaitu Al-Quran ini sendiri dan ada yang dilihat iaitu alam ciptaan Allah keseluruhannya. Ayat ini menjelaskan dua perkara penting iaitu; pertama, berkaitan hikmah perkahwinan dan, kedua, hikmah ini sendiri adalah salah satu tanda Kebesaran Allah.
Kedudukan Dan Peranan isteri
Topik artikel ini masih berkisar kepada isu siapakah sumber kegembiraan anda, denan fokus kepada isteri sebagai salah satu sumber kegembiraan bagi suami dalam hidup ini. Anda sebagai suami bagaimana? Sila jawab sendiri dan lakukan refleksi diri atau muhasabah. Allah sudah jelaskan bahawa isteri sebagai sumber ketenangan, ketenteraman jiwa dan kasih sayang. Beruntunglah bagi suami yang mendapat nikmat ini. Kalau perasaan ini wujud maka itulah merupakan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Allah. Jika perasaan ini tidak ada, atau yang ada hanyalah keresahan, kebimbangan, sakit hati, bengkak hati, kecil hati dan lain-lain perasaan yang negatif, tentu kita merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perkahwinan tersebut. Ada suami yang berusaha mencari perasaan yang dijanjikan Allah ini dan tidak kurang juga berserah sahaja pada ‘takdir’.
Pada masa yang sama, kadangkala terdapat juga pasangan yang berusaha menghayati agama tapi masih belum mendapat perasaan yang dijanjikan Allah ini. Ada yang terpaksa berpisah setelah semua usaha gagal dibuat. Sudah banyak Ustaz dam Ustazah dirujuk. Kaunselor pun jadi bengong memikirkan pasangan berkenaan. Kaedah perubatanpun cuba dibuat tapi tidak juga berjumpa dengan titik penyelesaian. Semacam ada halangan atau batu penghalang dalam diri masing2 hingga rumahtangga jadi tawar, hambar, tiada seri, tiada keceriaan, tidak bermaya bahkan seolah-olah tiada nyawa. Sebenarnya ada faktor2 lain seperti keserasian, latarbelakang keluarga dll yang perlu dipertimbangkan. Dengan sebab itu disunatkan merisik dan bertunang dan cuba mengenali pasangan dengan lebih baik. Kadangkala cara agama itu difahami dan dihayati juga berbeza berdasar banyak factor yang saya tak akan bincang di sini.
Ciri-Ciri Isteri Solehah
Bagaimana ciri-ciri seorang isteri yang boleh menggembirakan suami, yang dapat memberi ketenangan, yang boleh menghilangkan keresahan dan menimbulkan rasa kasih di hati suami. (Saya juga akan tulis tentang cirri-ciri suami yang diidamkan oleh isteri kemudian) Saya cuba untuk senaraikan di sini beberapa ciri berkenaan:
1. Memiliki sifat2 wanita solehah. Rasulullah bersabda yang sekira-kiranya bermaksud: “Biasanya seseorang wanita itu dinikahi dengan sebab 4 perkara; hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya, maka pilihlah yang beragama nescaya senang hati kamu”. Wanita yang beragama sudah tentu boleh menyenangkan hati suami. Sebenarnya ciri yang pertama ini mengandungi banyak sub2-ciri yang lain, bahkan kesemua ciri2 isteri solehah itu terkandung dalam elemen beragama. Wanita solehah itu digambarkan oleh Rasulullah, antara lain, sebagai seorang yang mentaati Allah, taat pada suami, senang hati suami yang memandang, berhias hanya untuk suami, menutup keaiban/kekurangan suami, mengutamakan suami dalam semua hal, amanah dengan harta suami, melayan kehendak suami, mendoakan suami, menguruskan rumahtangga dan anak-anak, cukup dan menerima kadar kemampuan nafkah suami, memahami bahawa suami adalah ketua rumahtangga dan dia akan dipertanggongjawabkan di akhirat atas setiap tindak tanduknya di atas dunia ini. Bahkan Rasulullah ada menyebut bahawa isteri yang menunaikan solat, berpuasa dan taat pada suami pasti masuk syurga. Nampak macam mudah, tapi Rasulullah juga sebut ramai yang masuk neraka. Moga-moga Allah beri perlindungan kepada kita.
2. Mengutamakan pasangan lebih dari diri sendiri. Bila berkahwin kedua-dua pihak suami-isteri perlu bersedia 'meleburkan' diri masing-masing dan membentuk satu acuan baru dalam rumahtangga. Ada dua sifat yang perlu untuk menjayakan usaha ‘meleburkan’ diri masing-masing ini; pertama, berusaha meninggalkan atau bersedia untuk meninggalkan semua kebiasaan/tabiat/cara hidup yang sudah biasa dibuat sebelum ini, kedua, menanamkan sifat (al-I‘thar) atau bersedia melebihkan kepentingan orang lan dari diri sendiri. Dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi, Islam memberikan gambaran para Sahabat Nabi yang sanggup mengutamakan Sahabat yang lain walupun ia sendiri ada kepentingan tertentu. Sanggupkah ini dilakukan oleh pasangan suami isteri? Sanggupkah suami sentiasa memikirkan apa yang disukai oleh isteri melebihi kesukaannya. Begitu juga sanggupkah isteri berbuat begitu. Kalau siisteri sentiasa mengutamakan suami, tentu akan wujud suasana yang disebutkan dalam Ayat di atas. Isteri yang solehah akan sentiasa memikirkan apakah kesukaan suaminya, cuba memahami perasaan suami. Kalau sekarang ini kemampuan dan kebolehan memahami perasaan orang lain disebut sebagai ‘emotional quotient’ (EQ) atau kecerdasan emosi. Secara ringkas, Kecerdasan Emosi (EQ) bermaksud kemampuan memahami dan mengawal emosi sendiri dan kemampuan memahami emosi orang lain. Sebagai manusia biasa, kadangkala kita rasa sedih, gembira, sayu, ceria, marah dll. Kita perlu tahu bagaimana mengawal emosi ini supaya tidak keterlaluan hingga menjejaskan orang di sekeliling kita. Kadangkala terlalu gembiran sekalipun boleh mengganggu dan meresahkan oang lain. Apatah lagi kalau emosi sedih, dukacita hingga boleh menyusahkan semua orang termasuk suami dan anak-anak. Kalau dah tak terkawal boleh jadi ketidakstabilan emosi dan membawa kepada sakit jiwa serta kemurungan. Demikian juga EQ ialah kemampuan memahami emosi orang lain dan mencari jalan untuk berinteraksi secara yang sihat. Isteri yang baik adalah yang memiliki sifat2 ini iaitu faham dan mampu kawal emosinya dalam hubungan dengan suaminya serta faham emosi suaminya. Dengan kemampuan ini siisteri akan sentiasa cuba menggembirakan suaminya.
Kalau EQ masih rendah, boleh belajar dan berusaha untuk dipertingkatkan. Senang saja kalau nak tahu samada EQ rendah atau tinggi, tanya suami atau cuba tulis semua yang diminati/disukai/perasaan suami dan suruh suami buat semakan dan beri markah. Begitu juga kalau isteri faham perasaan suami hanya dengan melihat mimik muka suami, atau faham masa yang sesuai untuk bercakap sesuatu masalah, atau sentiasa mempertimbangkan kesukaan suami lebih dari dirinya sendiri, maka itu tandanya isteri punya EQ yang tinggi. Sudah terbukti bahawa EQ menjadi faktor terbesar yang menyumbang kepada kejayaan hidup, dan bukannya IQ (kecerdesan intelektual). Isteri yang faham perasaan suami samada gembira, sedih, susah hati dll dikira ada kecerdasan emosi yang tinggi. Dengan kefahaman ini, isteri akan berusaha untuk melebihkan kehendak suami dari dirinya, inilah yang dikatakan sifat 'al-ithar' tadi. Tak mesti ada kelulusan yang tinggi untuk memiliki kebolehan ini. Yang diperlukan adalah kesanggupan untuk berkorban demi kebahagian rumahtangga. Walaupun sukar, Cubalah anda pasti akan merasai kesannya dan pasti suami akan sentiasa dalam ketenangan dan kegembiraan....
Bersambung.......... ciri-ciri lain

Monday, November 3, 2008

Sumber Kegembiraan 3: Isteri

Muhasabah Perkahwinan: Siapa Sumber Kegembiraan Anda 3 – Isteri?

Muhasabah Perkahwinan

Islam menuntut agar kita sentiasa melakukan muhasabah atau menilai kembali hidup ini. Muhasabah bermaksud berkira-kira atau membuat semakan semula terhadap apa yang telah lalu untuk faedah dan kebaikan masa depan. Kalau hendak dilihat dalam konteks semasa mungkin proses ‘audit’ mempunyai ciri-ciri ini. Bagi mereka yang sudah biasa dengan audit ISO SIRIM, audit dalaman, audit kewangan dll maka konsep muhasabah akan terus difahami secara mendalam. Muhasabah ini perlu samada secara individu atau dalam konteks rumahtangga, menilai kembali hubungan suami-isteri dan anak-anak. Bila sudah lama berkahwin banyak pasangan yang kurang memikirkan kedudukan status perkahwinan masing-masing dan merasakan cukuplah dengan apa yang ada, kalau baik kira Ok saja dan kalau tak baik, tunggu sahaja peluang yang lain, atau diam sahaja menunggu saat-saat untuk meninggalkan dunia ini!.
Banyak pasangan yang merasakan, bila dah lama berkahwin, tak ada faedah lagi untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam rumahtangga atau sudah tidak mungkin lagi untuk diperbaiki kerana masing2 sudah tua atau banyak hal lain yang perlu difikirkan. Ada juga pasangan yang, secara persetujuan bersama, tinggal berasingan kerana kalau duduk sekali sudah tidak ada keserasian lagi atau kalau nak berpisahpun banyak masalah lain lebih2 lagi, anak dan cucupun dah ramai. Dalam keadaan ini suami-isteri, masing2 bukan lagi sumber kegembiraan kepada pasangan masing-masing. Si suami mungkin lebih gembira bersama rakan-rakan di masjid/pondok atau ada hobi yang baru ditemui seperti golf, memancing, kereta dll. Kalau hobi tu baik, masih dalam lingkungan yang beruntung sebagai bekalan di akhirat. Kalau hobi baru tu tak baik, rugi segala-galanya, rumahtangga tak bagi faedah padanya lagi, amalan/tabiat hiduppun tidak menambah pahala. Bagi isteri pula, anak-anak dan cucu adalah segalanya. Hingga ada pandangan, tak bersuamipun tak apa asal ada anak, anak angkatpun jadilah. Saya ingin mengajak sidang pembaca sekelian untuk memikirkan fenomena ini. Secara prinsipnya kita diajar untuk kembali kepada Al-Quran dan al-Hadith jika tidak mahu sesat.
Cabaran Rumatangga
Rumahtangga dalam negara yang semakin maju berhadapan dengan risiko ‘gangguan’ terhadap perkahwinan yang semakin banyak kerana tuntutan kemajuan dan pembangunan kerap kali memakan mangsanya iaitu keruntuhan rumahtangga. Dengan sebab itu ada dicadangkan supaya kursus perkahwinan perlu juga dibuat kepada pasanggan ‘pengantin lama’ setelah 5 atau 10 tahun perkahwinan. Kalau tak silap kadar perceraian paling tinggi adalah pada 5 tahun pertama perkahwinan dan kemudian kadar perceraian menjadi tinggi juga selepas 10 tahun berikutnya. Pasangan perlu mencari jalan untuk ‘menghangatkan’ kembali rumahtangga dengan banyak cara yang selalu disebut dalam banyak ceramah dan sesi motivasi.
Isteri Sebagai Sumber Kegembiraan Suami
Artikel ini adalah sambungan dari yang lalu. Artikel yang lalu yang menyentuh tentang kedudukan ibu/bapa sebagai salah satu sumber kegembiraan kita dalam hidup ini. Artikel ini akan menyentuh kedudukan isteri sebagai sumber kegembiran suami. Ramai yang beranggapan bahawa hikmah perkahwinan itu boleh difahami secara ‘common sense’ dan tidak perlu agama menentukan landasan asas kepada perkahwinan. Sebenarnya tanggapan ini adalah salah sebab hikmah perkahwinan itu adalah lebih mendalam dan tidak boleh diambil sambil lewa sahaja atau ‘taken for granted’. Islam mensyariatkan perkahwinan sebahagian dari ibadat dan ada kaitan dengan hubungan dengan Allah Taala. Perkahwinan disyariatkan untuk mencapai 5 matlamat utama: i) sebagai memenuhi fitrah manusia, ii) untuk menambahkan zuriat, iii) untuk memelihara diri dari terjebak ke dalam lembah maksiat , iv) membentuk hubungan silaturrahim dan mengembangkan hubungan kekeluargaan, v) sebagai asas pembentukan masyarakat Islam
Secara prinsipnya Allah menjelaskan fungsi dan kedudukan isteri seperti berikut:
i) Pasangan kepada lelaki yang diciptakan dari lelaki itu sendiri yang merujuk kepada penciptaan Adam dan Hawa,
ii) Isteri menjadi tempat dan sumber ketenangan, kasih sayang dan kesukaan seseorang suami
iii) Isteri sebagai tempat suami memenuhi keperluan semulajadi sebagai lelaki
iv) Isteri sebagai pengurus rumahtangga walaupun mempunyai pembantu atau orang gaji.
v) Isteri menyempurnakan iman dan taqwa suami
vi) Isteri sentiasa berada di samping suami dan berkongsi segala-galanya samada senang atau susah
Kesimpulannya ialah, isteri merupakan pasangan kepada lelaki, menyempurnakan hidup lelaki dan sumber ketenangan/kegembiraan suami. Samada isteri itu suri rumah sepenuh masa atau bekerja, fungsi ini tetap sama, cuma ia memerlukan ‘adjustment’ dari beberapa sudut yang akan saya sebut dalam artikel yang lain. Pokoknya, isteri itu menyempurnakan hidup suami dan menjadi salah satu sumber kepada kegembiraan seseorang lelaki. Anda sebagai pembaca artikel ini bagaimana.... artikel ini terlalu ideal? Mampukan ia dicapai?, atau satu angan-angan. Hakikatnya, ini bukan angan-angan kosong, ia adalah tuntutan Islam dan Sunnah Rasulullah. Kalau suami isteri merasakan pandangan ini satu fatamorgana di padang pasir atau utopia yang terlalu jauh untuk dicapai, maka bermuhasabahlah!!!
Akan bersambung....

Tuesday, October 14, 2008

Siapa Yang Menggembirakan Anda 2

Banyak perkara yang boleh menggembirakan kita. Samada manusia, binatang, tanaman, persekitaran atau harta. Ada orang yang suka berada di rumah kerana ada kucing parsi yang berbulu lebat atau bonsai kesayangan yang berusia lebih 100 tahun. Ada yang minat barang antik atau membela ikan. Ada yang suka kepada TV plasma 42 inci yang seolah-olahnya sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Kalau TV rosak atau Astro breakdown sanggup keluar rumah kerana tidak ada lagi yang mengembirakannya dalam rumah. Ada yang suka main golf, hujan ribut bukan lagi halangan. Sanggup ke Kuala Terengganu dengan kawan2 semata-mata nak pukul bola yang bunyi pukulannya sampai dibawa dalam mimpi. Ada yang minat kereta hingga dikatakan sebagai isteri kedua walaupun kenyataan ini amat salah dan menjatuhkan martabat siisteri.
Banyak lagi hobi, ada yang ganjil yang manusia sanggup buat untuk membuatkan jiwanya gembira, selesa, riang, ceria hingga isterinya kata buatlah apapun yang boleh menggembirakan suaminya kecuali kahwin lagi satu. Adakah semua kegembiraan ini yang patut dicari dalam hidup. Adakah kita akan bawa kucing parsi, bonsai, TV plasma, kayu golf dan kereta bila mati dan menghadap Allah Taala. Pada prinsipnya semuanya ini tidaklah salah kalau kita tahu batas-batasnya yang dah ditentukan oleh Syarak. Dengan sebab itu perkara utama yang perlu diketahui ialah apakah yang akan kekal bersama kita di alam yang lebih kekal nanti. Rasulullah bersabda yang bermaksud "bilamana mati seseorang anak Adam terputuslah semua amalan kecuali 3 perkara; i) sedekah jariah; ii) ilmu yang dimanfaatkan dan; iii) anak saleh yang mendoakannya. Dalam Al-Quran, Allah mengingatkan kita bahawa sebaik-baik bekal ialah takwa. Sepatutnya, apa sahaja perkara yang boleh termasuk dalam bekal takwa ini, perlu menjadi sumber kegembiraan kita.
Dalam konteks penulisan ini, saya fokus kepada manusia terlebih dahulu dan saya sudah senaraikan sebelum ini bahawa pada kebiasaannya terdapat beberapa orang yang boleh menggembirakan kita dan yang paling atas dalam senarai ialah ibu/bapa dan yang paling bawah ialah masyarakat. Secara idealnya semua kelompok manusia ini sepatutnya boleh menjadi sumber kegembiraan dan inspirasi dalam hidup kita. Tetapi ini sukar dicapai dan oleh itu kadangkala, kita perlu tahu meletakkan keutamaan dan mencari jalan terbaik agar sesuatu konflik antara individu2 berkenaan diselesai dengan baik.
Ibu/bapa saya letakkan yang paling atas kerana ini saranan Allah dan Rasul. Bahkan Rasulullah memberi amaran bahawa redo Allah itu tergantung kepada redo ibu/bapa dan kemurkaan Allah juga tergantung kepada kemurkaan Ibu/Bapa. Jika kita mendapat redo ibu/bapa, itulah kegembiraan yang terbaik. Orang yang tak dapat redo ibu/bapa, di dunia lagi hidup mereka tak gembira dan tak senang apatah lagi di akhirat. Jika sudah tidak ada lagi ibu/bapa maka mendoakan mesti menjadi amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Kalau ibubapa bukan Islam atau insan yang derhaka pada Allah sekalipun, mesti terus mendoakan mereka, mudah-mudahan diberkati dan diberi hidayat serta taufiq. Berusahalah untuk mendapat keredoaan ini mudah-mudahan kita nanti akan mendapat anak yang soleh jua, yang akan menjadi sumber kegembiraan kita serta bekalan takwa bila kita sudah tiada lagi.. bersambung

Monday, October 13, 2008

Siapa Yang Menggembirakan Anda?

Dalam hidup ini ada banyak perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu gembira, suka, tenang, ceria, selesa dan lain-lain perasaan positif. Ada yang sifatnya benda yang tidak bernyawa dan ada yang sifatnya manusia yang bernyawa. Perasaan positif ini lahir bilamana ada interaksi dengan benda atau orang tertentu berkenaan. Interaksi ini boleh berlaku samada secara fizikal atau mental. Tulisan ini hanya akan memberi fokus kepada unsur manusia sebagai salah satu perkara yang menyebabkan seseorang itu gembira, ceria dan lain-lain perasaan positif. Saya juga akan sebutkan apakah penilaian agama terhadap individu2 ini dan statusnya alam kita kita Muslim.
Saya cuba menyenaraikan individu (berdasar keadaan biasa) yang boleh memberi impak mental yang positif kepada kita bermula dari yang paling hampir dengan kita seperti berikut:
1. Ayah/Ibu/Datuk/Nenek
2. Isteri/Suami
3. Anak/Cucu
4. Adik beradik
4. Jiran
5. Rakan Sekerja
6. Saudara-mara
7. Masyarakat
Senarai ini mungkin tidak habis untuk difikirkan kerana setiap orang daripada kita tentu mempunyai individu tertentu yang memberikan kesan positif kepada dirinya. Cuba kita fikirkan berapa banyak masa yang kita habiskan berinteraksi dengan individu-individu di atas sepanjang hari atau sepanjang hidup kita. Juga fikirkan siapakah di antara meraka yang paling banyak memberikan impak dalam hidup kita. Soalan ini tidak mudah dijawab secara umum kerana setiap orang tentu mempunyai bentuk komunikasi yang berbeza dengan individu2 berkenaan. Walaubagaimanapun dalam Islam, tiap2 individu berkenaan telah diletakkan dalam kategori2 tertentu
Bagi setiap individu di atas, ada tanggongjawab yang perlu ditunaikan kepada mereka dan pada masa yang sama, mereka ada hak yang kita akan dapat dari mereka. Tanggongjawab dan hak adalah adalah dua perkara yang sentiasa berada bersama-sama. Secara prinsipnya jika kita menunaikan tanggongjawab kita kepada indivudu berkenaan, maka kita akan dapat hak kita termasuklah perasaan yang positif. Islam telahpun menentukan tanggongjawab dan hak bagi dan ke atas setiap individu berkenaan. Secara umum, orang yang telah menjalankan tanggongjawabnya dengan sempurna akan mendapat kegembiraan dalam hidup ini. Sementara orang yang cuai pula akan terpaksa menanggong derita hidup di dunia dan akhirat. Tulisan ini alan bersambung......

Friday, October 10, 2008

Ingat Mengingati -Kita Mudah Lupa

Sejak lebih 3 tahun yang lalu pada setiap pagi atau tengahari jumaat saya pasti akan dapat SMS yang mengandungi terjemahan hadis2 yang dikirim dari seorang sahabat. Beliau seorang profesional yang memegang jawatan tinggi dalam sebuah syarikat swasta. Sangat komited dengan program di masjid dan kuat beribadat. Satu hari saya menerima SMS beliau pada jam 4 pagi hari Jumaat malam sabtu. Masa yang lain dari yang lain. Bila ada kesempatan di hujung minggu saya berjumpa dengannya dan bertanya sebab apa kirim SMS masa tu. Katanya beliau terlupa untuk hantar pada waktu siang dan tidak mahu sekalipun terlepas peluang untuk memberi tazkirah pada sahabat2 yang lain. Saya kagum dengan kesungguhan beliau, yang bukan dari aliran agama, tapi mencari2 peluang untuk memberi sumbangan yang bersifat 'agama', cuba beramal dengan ilmu yang didapati walaupun sedikit. Saya sebagai orang yang dah lama belajar agama merasa kerdil bila berhadapan dengan orang yang semacam ini dan keadaan semacam ini memberi inspirasi untuk memperbaiki diri. Ini diantara faedah bersahabat dengan orang yang 'baik-baik'. Rasulullah bersabda bermaksud yang mafhumnya: "sahabat yang baik umpama penjual minyak wangi yang pasti kita akan terkena dan mendapat bau wanginya, sementara sahabat yang jahat seperti bersahabat dengan tukang besi yang pasti dapat percikan api, bauan dan kotoran yang lain". Bahkan lebih dari itu Rasulullah memberi ingatan bahawa cara hidup dan agama kita banyak dicorakkan oleh sahabat rapat.
Agama dibina atas nasihat menasihati. Itu pesan Rasulullah. Menasihati supaya ingat Allah, Rasul, Al-Quran. nasihat juga kepada pemimpin dan seluruh orang Islam. Untuk memberi nasihat tidak mesti dengan berceramah sahaja. Pokoknya mesej sampai.
Sahabat dan teman yang paling rapat dengan suami adalah isterinya dan begitulah sebaliknya. Dengan sebab itu ingat-mengingati ini mesti dimulakan antara keduanya. Dalam konteks Rumahtangga orang yang paling hampir/rapat dengan suami adalah isteri dan begitulah sebaliknya. Bahkan perkahwinan itu menyempurnakan keimanan dan ketakwaan seseorang individu. Sudah tentu matlamat ini dapat dicapai jika suami/isteri sering menasihati dan menegur antara satu sama lain. Amatlah malang jika, suami tak dapat bantu isteri dari sudut ini dan begitu juga jika isteri tidak menjadi pemangkin serta pendorong kepada kebaikan bagi suaminya. Anak-anak sudah tentu akan jadi mangsa kepada hubungan suami isteri yang pincang ini.
Sebenarnya bukanlah sukar untuk suami memberi nasihat kepada isteri dan sebaliknya. Banyak cara boleh digunakan, seperti yang dikatakan oleh orang sekarang sebagai 'kemahiran komunikasi'. Teorinya dah banyak diperkata, di TV, radio dalan pelbagai media lagi. Dr. Fadhilah Kamsah sudah lama dan banyak cakap tentang perkara ini. Lebih jauh dan unggul dari itu, Rasulullah bersabda yang mafhumnya "sebaik-baik kamu orang lelaki adalah yang paling baik kepada isteri kamu, dan Aku adalah yang paing baik dengan isteri2ku".

Cukup dulu setakat ini, Tulisan ini akan bersambung

Wednesday, October 8, 2008

Mencari Keberkatan Dan Semangat Lepas Cuti

Assalamulaikum dan Salam bulan Syawal, Sejak hari Isnin yang lalu para pekerja khususnya di Universiti Malaya memulakan hari baru selepas cuti IdilFitri yang agak panjang. Seperti juga anak-anak kita, selepas bercuti panjang, 'mood' bercuti masih ada. Hinggakan di pejabat lampu2 kelip masih terpasang, ketupat plastik masih tergantung dan kuih raya terhidang di atas meja staf. Perbualan juga masih berkisar sekitar cuti dan aktiviti sepanjang cuti yang lalu. Anak-anakpun masih mahu berhari raya ke rumah kawan-kawan. Rakan-rakan kita dengan murah hati membuat rumah terbuka dan ini amat baik bukan sahaja mengeratkan silaturrahim, bahkan yang lebih penting mengingatkan kita bahawa kita baru sahaja mengikuti program di 'madrasah ramadan' yang sudah tentu meninggalkan impak yang besar dalam diri dan keluarga kita.
Sebagai manusia biasa, kadangkala momentum untuk bekerja agak lambat untuk digerakkan. Otak dan minda manusia ini sama juga seperti tubuh badan fizikalnya, jika lama tidak bersenam dan menjaga pemakanan dengan baik maka, ia akan jadi semakin lembab dan juga mungkin semakin gemuk dan kemudiannya dapat penyakit. Ia mengambil masa untuk menjadi lancar dan bersemangat kembali untuk bekerja. Apatah lagi, bagi rakan-rakan yang memegang jawatan pentadbiran, yang perlu memikirkan banyak perkara termasuk kerja-kerja kecil yang tidak termasuk dalam senarai tugas hakikinya, sebagai contoh sebagai pensyarah/guru yang perlu juga memikirkan soal-soal pentadbiran.

Terdapat empat perkara yang boleh membantu kita membina motivasi diri dengan cara yang lebih cepat dan konsisten:
1. Membiasakan amalan-amalan zikir dan membaca al-Quran setiap hari khususnya waktu pagi. Bacaan zikir al-ma'thurat juga amat baik kerana di dalamnya ada doa-doa yang berkaitan perlindungan diri, menjauhkan diri dari kelemahan dan dukacita, sekaligus dapat meningkatkan semangat dan motivasi diri. Cubalah anda akan merasai kesannya...
2. Bagi orang lelaki, Islam sangat menggalakkannya berjemaah di masjid. Keluar dari rumah ke masjid, berjumpa dengan rakan-rakan di masjid, melakukan amalan secara berjemaah di masjid dengan cepatnyadapat meningkatkan semangat dan kesungguhan untuk bekerja. Suami/ayah adalah ketua dalam rumahtangga, kalau dia sendiri tercari-cari kekuatan diri, mana mungkin ia dapat menjadi ketua rumahtangga yang berkesan dan diikuti oleh ahli keluarga yang lain. Paling kurang ia berusaha berjemaah di rumah dengan isteri dan anak-anak. Untuk berjemaah dengan isteri mungkin mudah tapi, anak-anak kadangkalanya mereka lebih sibuk dengan kerja sekolah dan aktiviti berkaitan komputer dan TV. Bagi suami/ayah, cubalah kemasjid waktu subuh. Rasulullah ada menyebut secara khusus bahawa jika kita tahu fadhilat solat jemaah isyak dan Subuh nescaya kita akan ke masjid walaupun dengan merangkak. Solat subuh berjemaah juga boleh membersihkan hati dari sifat nifaq (munafiq). Cubalah anda akan rasai kesannya jika dibuat dengan penuh keikhlasan.
3. Sentiasa membersihkan hati dari perasaan tidak senang dengan orang lain seperti hasad dengki, marah, dendam, iri hati, cumburu dan lain-lain. Salah seorang yang Rasulullah telah janjikan syurga padanya, iaitu Abu Ubadah al- Jarrah, mendedahkan rahsia hidupnya iaitu tidak menyimpan sebarang perasaan tidak baik terhadap orang lain. Walaupun kadangkala terlintas juga perasaan itu kerana melihat sikap orang lain, tapi cepat2 dikikis dan dibersihkan. Cubalah anda akan merasai kesannya...
4. Sentiasa bertaubat kepada Allah khususnya pada waktu pagi dan malam. dengan sebab itu juga bacaan al-ma'thurat amat baik kerana ada satu zikir yang dikira ibu kepada istighfar di hujung zikir ini. Dalam surat al-Mutaffifin ayat 14, Allah berfirman yang bermaksud, "bahkan hati mereka berkarat akibat dari perbuatan mereka sendiri". Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: "Bilamana seseorang hamba itu melakukan dosa maka satu titik hitam terdapat pada hatinya, jika ia bertaubat maka ia akan bersih berkilat semula, jika ditambah dosa maka bertambahlah karat hitam berkenaan". Cubalah anda akan rasai kesannya...

Demikian secara ringkas amalan yang mudah dan dapat dibuat oleh sesiapa sahaja. Ini sebagai ingatan pada diri saya terutamanya, dan dipanjangkan kepada pembaca yang lain

Sunday, October 5, 2008

Balik Kampung: Antara Tuntutan Agama Dan Budaya

Falsafah Balik Kampung : Antara Tuntutan Agama Dan Budaya Masyarakat
Sambutan Idilfitri 1429 bagi umat Islam sudah berlalu dengan pelbagai kenangan khususnya di kampung halaman. Amalan balik kampung sudah sebati dengan masyarakat kita di Malaysia. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan di India ramai yang terkorban akibat jatuh dari keretapi untuk balik kampong. Sehari sebelum hari raya baru-baru ini lebih dari sepuluh orang rakyat Indonesia mati lemas akibat tongkang yang terbalik dalam perjalanan ke Indonesia untuk balik kampung. Tidak kurang juga rakyat Malaysia yang sanggup mengambil risiko membeli tiket bas dari ulat-ulat untuk balik ke kampung. Ada yang menumpang lori dan lain-lain kaedah digunakan untuk balik kampung. Bandar besar khsususnya Kuala Lumpur bagaikan diletak di bawah perintah darurat kerana sunyi sepi. Bagi yang ‘terpaksa’ berhari raya di Kuala Lumpur akan cuba melakukan kegiatan yang paling hampir dengan suasana di kampung dengan memasang lampu dan menjadikan persekitaran seakan-akan kampung halaman. Dalam satu iklan di TV, seorang ayah membawa anaknya pulang ke rumah pusaka keluarga walaupun ibu dan ayahnya sudah tiada dan bila ditanya oleh anaknya kenapa pulang ke rumah itu sedangkan datuk/neneknya sudah tiada, lantas si ayah berkata dengan sedih bahawa ketikamana ibu/ayahnya (datuk/nenek budak itu) masih hidup, dia tidakpun pulang menziarahi mereka. Begitu sekali rapatnya hubungan orang kita dengan kampung halaman. Orang yang tidak suka balik kampung biasanya mempunyai masalah tertentu seperti berlaku perselisihan faham dengan keluarga di kampung, masalah harta pusaka yang tak selesai, balik rumah mertua? dan lain-lain keadaan yang masih tidak menghilangkan kerinduannya kepada kampung halaman tersebut.
Menyambut hari raya jika tidak di kampung halaman, macam tak sempurna, bahkan dikatakan sebagai tidak berhari raya. Sebahagian besar antara kita juga membesar dengan lagu Allahyarham Sudirman, “Balik Kampung” yang jika lagu ini didengar di luar musim raya, boleh menitiskan air mata, apatah lagi bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara. Amalan ini sangat kuat berakar umbi dalam diri kita dan perkara ini akan saya sentuh dengan melihat dari sudut tuntutan agama dan budaya masyarakat. Tidak ada kajian khusus saya buat sekadar pandangan berdasarkan pemerhatian (observasi) dan pengalaman peribadi dan keluarga.
Kamus Dewan(DBP 1991) menjelaskan makna ‘kampung’ sebagai kawasan kediaman (terdiri dari sekumpulan rumah dan lain-lain) di luar bandar, desa dan dusun; juga bermaksud kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok seperti kampung Cina dan lain-lain. Sementara itu ‘kampung halaman’ pula bermaksud kampung tempat lahir. Perkataan yang sama disebut dalam bahasa arab sebagai ‘al-qaryah’ yang ditafsir oleh kamus Besar Arab-Melayu (DBP 2006) sebagai sebagai kampung dan kediaman. Tujuan saya menyebut istilah-istilah ini adalah untuk mengaitkan dengan konsep balik kampung yang menjadi fenomena di negara ini. Dari sudut falsafahnya apakah jenis kampung yang menjadi tempat yang sangat dirindui dan menjadi tumpuan dalam musim-musim cuti dan perayaan khususnya hari Raya itu. Beberapa ciri yang menjadikan sesuatu tempat itu sangat gemar dikunjungi, antaranya; i)tempat asal seseorang, ii) tempat seseorang itu dilahirkan, iii) tempat seseorang itu dibesarkan sejak dari kecil atau selepas dilahirkan; iv) tempat yang dihuni oleh ibu/ayah/datuk/ nenek atau saudara mara yang rapat, v) tempat yang pernah menyimpan nostalgia kehidupan masa kecil atau keluarga terdekat.
Kampung yang saya maksudkan dalam artikel ini mungkin memiliki salah satu atau gabungan beberapa ciri-ciri ini. Sesuatu tempat itu masih diiktiraf sebagai kampung halaman seseorang walaupun sudah tidak dihuni oleh sesiapa jika mempunyai ciri2 di atas. Oleh itu kita tanyalah diri sendiri, di manakah kampung halaman kita, atau adakah kita masih punya kampung halaman?
Balik kampung sebenarnya ada asasnya dalam Islam. Ia bukan sekadar satu adat atau budaya orang kita. Kalau digabungkan ciri-ciri di atas, pada prinsipnya kampung halaman adalah tempat asal seseorang atau tempat yang dihuni oleh orang tua kita. Ini bermakna balik kampung adalah suatu amalan untuk kembali kepada asal usul kita sebagai manusia. Dalam bahasa arab istilah yang digunapakai ialah”usul” iaitu orang yang di atas kita yang terdiri daripada ibu/ayah, datuk/nenek, moyang, piut sehingga keatas. Balik kampung sebenarnya adalah baliik semula kepada asal usul kita meskipun mungkin orang tua sudah tak ada lagi. Dengan sebab itu juga Rasulullah membenarkan ziarah kubur sebagai tanda ingatan kita kepada orang tua dan untuk ingat kepada kematian. Rasulullah juga bersabda yang bermaksud bahawa doa anak yang soleh/solehah sampai pahalanya kepada si mati sebagai tanda ingatan seseorang kepada ibu/ayahnya. Sehinggakan perkara ini disepakati oleh semua Ulama. Apa yang saya ingin kaitkan di sini ialah kembali kepada usul boleh dianalogikan kepada amalan balik kampung. Oleh itu seseorang yang sudah tidak ada kampung lagipun boleh kembali kepada usul iaitu dengan mengingati orang tua mereka. Dalam Islam kita diajar supaya kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai usul yang jika dipegang tidak akan sesat selama-lamanya. Allah Taala juga dalam banyak ayat2Nya meminta kita merenung kembali kepada asal penciptaan kita iaitu dari nabi Adam dan dari air mani. Kita juga diingatkan bahawa kita dari tanah dan akan kembali kepada tanah. Kita juga diingatkan bahawa kita datang dari Allah dan pasti akan kembali kepada Allah. Kesemua konsep ini menggambarkan bahawa fenomena balik kampung itu jika difahami dan dihayati, akan lebih mendekatkan kita, kepada diri kita sendiri dan seterusnya mendekatkan diri kita kepada Allah Taala.
Seseorang yang jika masih mempunyai ‘usul’ (ayah/ibu dan ke atas) tetapi tidak rindu kepada mereka atau tidak gemar pulang menziarahi mereka sebenarnya mempunyai sikap angkuh dan tidak bersedia untuk ingat kepada asal-usul kejadiannya. Bagi yang sudah tidak ada kampung atau tidak ada orang tua lagi, maka perasaan sentiasa ingat kepada mereka dan mendoakan mereka adalah juga menifestasi kepada amalan ‘balik kampung’ yang banyak faedahnya. Ibu/bapa wajar melatih anak-anak supaya ingat kepada orang tua dan kampung halaman. Tunjukkan kepada mereka tempat kita dilahirkan, tempat kita bermain pada waktu kecil dan lain-lain supaya nantinya anak-anak kita akan ingat kepada ‘usul’ mereka iaitu diri kita sendiri. Bagi anak-anak yang menganggap bahawa kampung halaman adalah tempat yang tertinggal atau orang tua mereka itu ketinggalan zaman, kolot dan sebagainya adalah gejala yang tidak baik dan bakal menjauhkan diri mereka kepada mengingati asal usul kejadian mereka. Balik kampung dan ingatkan asal ‘usul’ kita adalah juga satu usaha untuk kembali kepada fitrah semulajadi kita seperti mana yang menjadi matlamat kita berpuasa.
Jadilahkan amalan ‘balik kampung’ sebagai satu ibadat untuk memenuhi tuntutan agama....

Friday, October 3, 2008

Muhasabah Puasa

Rasulullah bersabda yang sekira-kiranya bermaksud: "Antara Ramadan dengan Ramadan yang satu lagi, antara sembahyang dengan sembahyang yang lain adalah penghapus dosa selagimana tidak melakukan dosa besar". Hadis ini menggambarkan bahawa jika sesuatu amalan ibadat itu dilakukan dengan betul maka ia boleh menjadi penghapus dosa dan memelihara kita dari melakukan dosa. Rasulullah ada menyentuh secara khusus kedua-dua ibadat utama ini sebagai ibadat yang membersihkan dosa anak Adam. Dalam konteks solat, jika ia tidak menjadi pencegah dari maksiat dan dosa, maka ia dikira tidak sempurna. Bahkan Al-Quran dengan jelas juga menerangkan perkara ini. Demikian juga sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharap keredoaan Allah, maka dosa2 yang lalu akan terampun dan diibaratkan sebagai kembali kepada fitrah semulajadinya seperti bayi yang diibaratkan sebagai kain putih tanpa dosa. Puasa mengembalikan kita kepada fitrah semulajadi kejadian manusia. Ibadat2 utama ini membawa balik diri kita kepada fitrah diri kita sendiri. Ia ibarat 'check-point' yang boleh mempastikan halatuju dan cara hidup kita menepati kehendak Yang Maha Pencipta. Solat adalah 'check-point' harian iaitu sekurang2nya 5 kali sehari, sementara itu puasa merupakan 'check-point' tahunan seseorang anak Adam. Kembali balik kepada asal usul kejadian kita amat penting.
Secara analoginya dalam kehidupan kita, jika kita berhadapan sesuatu isu/masalah, maka perlu kembali balik kepada usul kita iaitu merujuk kepada piawaian/standard yang ditentukan oleh Yang Maha Pencipta melalui wahyuNya samada Al-Quran atau Al-Sunnah. Jika kita telah berjaya membawa balik diri kita kepada fitrah semulajadi itu, dan kita merujuk kepada wahyu Allah maka semua ketentuan Allah akan dirasakan ada 'keserasiannya'. Orang yang merasakan tuntutan agama tidak sesuai dengan dirinya , sebenarnya belum kembali kepada fitrahnya. Orang yang merasakan hukum Islam tidak adil, berat sebelah, tidak relevan dengan zaman dan lain-lain sebenarnya tidak memiliki fitrah yang betul. Fitrahnya yang telah digambarkan oleh Rasulullah sebagai kain putih itu, mungkin telah diwarnakan dengan warna Yahudi atau Nasara atau majusi atau lain-lain ideologi ciptaan manusia.
Puasa sepatutnya sudah mampu membuka jendela kepada fitrah semulajadi kita sebagai Muslim, janganlah pula selepas bulan Ramadan ini jendela yang mula terbuka ini ditutup semula kerana menunggu Ramadan yang akan datang....beringatlah

Sehari selepas Raya

Idilfitri dah berlalu. Dalam Islam sebenarnya sambuan utama hari raya ini hanya sehari. Walaubagaimanpun di kebanyakan tempat bulan ini dianggap sebagai bulan raya yang disambut dengan beberapa amalan yang baik seperti rumah terbuka, bermaaf-maafan dan bersedekah. Pemergian Ramadan dan IdilFitri menimbulkan kesayuan bagi banyak orang. Sayu kerana hari paling gembira dalam kalendar orang Islam dah berlalu, sayu kerana terpaksa meninggalkan orang yang tersayang di kampung khususnya ayah dan ibu, sayu kerana suasana Ramadan sudah tidak ada lagi dan lain-lain lagi. Ada juga sayu sebab hutang bertambah. Sambutan ini menjadi begitu bermakna kerana ia datang hanya sekali setahun, kalau hendak dirayakan setiap hari, bukan lagi raya namanya. Sesuatu yang jarang dan sukar diperolehi itu biasanya mahal dan sangant bermakna.
Setiap kita perlu membuat refleksi diri atau muhasabah dari Ramadan ini. Pagi semalam dan pagi tadi bilangan jemaah subuh sudah susut dan hampir kembali kepada keadaan asal. Bangun subuhpun sudah lewat, qiyamullail yang biasa dibuat di sepuluh terakhir ramadan semakin berat untuk dilakukan. Al-Quran tidak dibaca dalam dua hari ini selain dalam solat seperti biasa. Anak saya yang dalam Ramadan ini begitu ringan ke masjid bahkan beberapa malam qiyamullail di masjid sudah semakin sukar dkenjutkan untuk subuh. Di mana perginya momentum Ramadan yang telah dibina beberapa hari lalu. Momentum ini boleh dilanjutkan dengan puasa 6 hari dalam bulan syawal. Dalam hal ini suami isteri mempunyai peranan yang besar untuk mengingatkan pasangan masing-masing dan anak-anak akan pentingnya mengekalkan suasana beribadat yang telah dibiasanya dalam bulan Ramadan. Bagi individu Muslim yang menjadikan ramadan sebagai bulan ibadat dan bukan bulan adat dan kebudayaan maka sudah tentu berusaha menjadikan puasa kali ini sebagai puasa yang mabrur. Ingatlah, syaitan telah lepas kembali, pertarungan kita bulan sahaja dengan hawa nafsu bahkan panglimanya yang paling kuat telah kembali berlegar. Selamat berjuang..

Tuesday, September 30, 2008

Sehari sebelum hari Raya

Hari ini suami isteri dan anak-anak biasanya akan berada di rumah keluarga di kampung menunggu detik 1 Syawal. Kalau di bandar sekalipun pasti orang tua dan saudara mara akan dicari untuk merancang atau berkumpul untuk satu-satu aktiviti, biasanya menyediakan makanan untuk hari lebaran. Sebenarnya kesemua detik berkenaan adalah adalah satu proses yang amat dinanti dan akan diingati sepanjang tahun. Pada masa yang sama ada juga terdapat keluarga yang terjebak dalam satu-satu isu yang menyebabkan mereka bermasam muka dan tidak bertegur sapa seperti giliran balik kampung, persiapan raya, kewangan,harta pusaka dan lain-lain. Kemuncak Ramadan dan penantian Syawal sepatutnya menjadi titik tolak kepada kesatuan keluarga. Kalau orang yang dosanya berlu terampun oleh Allah setelah berlalu Ramadan dikira sebagai orang yang rugi. Begitulah juga jika kedatangan Syawal tidak menjadi asas kepada bermaaf-maafan, maka orang itu juga rugi sebab sukar mencari detik yang seindah Ramadan/Syawal untuk memafkan orang lain dan bersikap lapang dada. Salam Syawal 1429H

Monday, September 29, 2008

Salam Perkenalan

Assalamualaikum, Salam perkenalan dari saya dan insyaAllah blog ini akan diisi dengan bahan-bahan berkaitan kekeluargaan dan perundangan Islam. Bahan-bahan ini akan dipersembahkan secara santai dan tidak terlalu akademik bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat berkongsi maklumat ini.
Terima kasih diucapkan kepada Dr. Mohd. Rushdan Md. Noor, kerana membantu membangunkan blog ini.