Sunday, October 5, 2008

Balik Kampung: Antara Tuntutan Agama Dan Budaya

Falsafah Balik Kampung : Antara Tuntutan Agama Dan Budaya Masyarakat
Sambutan Idilfitri 1429 bagi umat Islam sudah berlalu dengan pelbagai kenangan khususnya di kampung halaman. Amalan balik kampung sudah sebati dengan masyarakat kita di Malaysia. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan di India ramai yang terkorban akibat jatuh dari keretapi untuk balik kampong. Sehari sebelum hari raya baru-baru ini lebih dari sepuluh orang rakyat Indonesia mati lemas akibat tongkang yang terbalik dalam perjalanan ke Indonesia untuk balik kampung. Tidak kurang juga rakyat Malaysia yang sanggup mengambil risiko membeli tiket bas dari ulat-ulat untuk balik ke kampung. Ada yang menumpang lori dan lain-lain kaedah digunakan untuk balik kampung. Bandar besar khsususnya Kuala Lumpur bagaikan diletak di bawah perintah darurat kerana sunyi sepi. Bagi yang ‘terpaksa’ berhari raya di Kuala Lumpur akan cuba melakukan kegiatan yang paling hampir dengan suasana di kampung dengan memasang lampu dan menjadikan persekitaran seakan-akan kampung halaman. Dalam satu iklan di TV, seorang ayah membawa anaknya pulang ke rumah pusaka keluarga walaupun ibu dan ayahnya sudah tiada dan bila ditanya oleh anaknya kenapa pulang ke rumah itu sedangkan datuk/neneknya sudah tiada, lantas si ayah berkata dengan sedih bahawa ketikamana ibu/ayahnya (datuk/nenek budak itu) masih hidup, dia tidakpun pulang menziarahi mereka. Begitu sekali rapatnya hubungan orang kita dengan kampung halaman. Orang yang tidak suka balik kampung biasanya mempunyai masalah tertentu seperti berlaku perselisihan faham dengan keluarga di kampung, masalah harta pusaka yang tak selesai, balik rumah mertua? dan lain-lain keadaan yang masih tidak menghilangkan kerinduannya kepada kampung halaman tersebut.
Menyambut hari raya jika tidak di kampung halaman, macam tak sempurna, bahkan dikatakan sebagai tidak berhari raya. Sebahagian besar antara kita juga membesar dengan lagu Allahyarham Sudirman, “Balik Kampung” yang jika lagu ini didengar di luar musim raya, boleh menitiskan air mata, apatah lagi bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara. Amalan ini sangat kuat berakar umbi dalam diri kita dan perkara ini akan saya sentuh dengan melihat dari sudut tuntutan agama dan budaya masyarakat. Tidak ada kajian khusus saya buat sekadar pandangan berdasarkan pemerhatian (observasi) dan pengalaman peribadi dan keluarga.
Kamus Dewan(DBP 1991) menjelaskan makna ‘kampung’ sebagai kawasan kediaman (terdiri dari sekumpulan rumah dan lain-lain) di luar bandar, desa dan dusun; juga bermaksud kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok seperti kampung Cina dan lain-lain. Sementara itu ‘kampung halaman’ pula bermaksud kampung tempat lahir. Perkataan yang sama disebut dalam bahasa arab sebagai ‘al-qaryah’ yang ditafsir oleh kamus Besar Arab-Melayu (DBP 2006) sebagai sebagai kampung dan kediaman. Tujuan saya menyebut istilah-istilah ini adalah untuk mengaitkan dengan konsep balik kampung yang menjadi fenomena di negara ini. Dari sudut falsafahnya apakah jenis kampung yang menjadi tempat yang sangat dirindui dan menjadi tumpuan dalam musim-musim cuti dan perayaan khususnya hari Raya itu. Beberapa ciri yang menjadikan sesuatu tempat itu sangat gemar dikunjungi, antaranya; i)tempat asal seseorang, ii) tempat seseorang itu dilahirkan, iii) tempat seseorang itu dibesarkan sejak dari kecil atau selepas dilahirkan; iv) tempat yang dihuni oleh ibu/ayah/datuk/ nenek atau saudara mara yang rapat, v) tempat yang pernah menyimpan nostalgia kehidupan masa kecil atau keluarga terdekat.
Kampung yang saya maksudkan dalam artikel ini mungkin memiliki salah satu atau gabungan beberapa ciri-ciri ini. Sesuatu tempat itu masih diiktiraf sebagai kampung halaman seseorang walaupun sudah tidak dihuni oleh sesiapa jika mempunyai ciri2 di atas. Oleh itu kita tanyalah diri sendiri, di manakah kampung halaman kita, atau adakah kita masih punya kampung halaman?
Balik kampung sebenarnya ada asasnya dalam Islam. Ia bukan sekadar satu adat atau budaya orang kita. Kalau digabungkan ciri-ciri di atas, pada prinsipnya kampung halaman adalah tempat asal seseorang atau tempat yang dihuni oleh orang tua kita. Ini bermakna balik kampung adalah suatu amalan untuk kembali kepada asal usul kita sebagai manusia. Dalam bahasa arab istilah yang digunapakai ialah”usul” iaitu orang yang di atas kita yang terdiri daripada ibu/ayah, datuk/nenek, moyang, piut sehingga keatas. Balik kampung sebenarnya adalah baliik semula kepada asal usul kita meskipun mungkin orang tua sudah tak ada lagi. Dengan sebab itu juga Rasulullah membenarkan ziarah kubur sebagai tanda ingatan kita kepada orang tua dan untuk ingat kepada kematian. Rasulullah juga bersabda yang bermaksud bahawa doa anak yang soleh/solehah sampai pahalanya kepada si mati sebagai tanda ingatan seseorang kepada ibu/ayahnya. Sehinggakan perkara ini disepakati oleh semua Ulama. Apa yang saya ingin kaitkan di sini ialah kembali kepada usul boleh dianalogikan kepada amalan balik kampung. Oleh itu seseorang yang sudah tidak ada kampung lagipun boleh kembali kepada usul iaitu dengan mengingati orang tua mereka. Dalam Islam kita diajar supaya kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai usul yang jika dipegang tidak akan sesat selama-lamanya. Allah Taala juga dalam banyak ayat2Nya meminta kita merenung kembali kepada asal penciptaan kita iaitu dari nabi Adam dan dari air mani. Kita juga diingatkan bahawa kita dari tanah dan akan kembali kepada tanah. Kita juga diingatkan bahawa kita datang dari Allah dan pasti akan kembali kepada Allah. Kesemua konsep ini menggambarkan bahawa fenomena balik kampung itu jika difahami dan dihayati, akan lebih mendekatkan kita, kepada diri kita sendiri dan seterusnya mendekatkan diri kita kepada Allah Taala.
Seseorang yang jika masih mempunyai ‘usul’ (ayah/ibu dan ke atas) tetapi tidak rindu kepada mereka atau tidak gemar pulang menziarahi mereka sebenarnya mempunyai sikap angkuh dan tidak bersedia untuk ingat kepada asal-usul kejadiannya. Bagi yang sudah tidak ada kampung atau tidak ada orang tua lagi, maka perasaan sentiasa ingat kepada mereka dan mendoakan mereka adalah juga menifestasi kepada amalan ‘balik kampung’ yang banyak faedahnya. Ibu/bapa wajar melatih anak-anak supaya ingat kepada orang tua dan kampung halaman. Tunjukkan kepada mereka tempat kita dilahirkan, tempat kita bermain pada waktu kecil dan lain-lain supaya nantinya anak-anak kita akan ingat kepada ‘usul’ mereka iaitu diri kita sendiri. Bagi anak-anak yang menganggap bahawa kampung halaman adalah tempat yang tertinggal atau orang tua mereka itu ketinggalan zaman, kolot dan sebagainya adalah gejala yang tidak baik dan bakal menjauhkan diri mereka kepada mengingati asal usul kejadian mereka. Balik kampung dan ingatkan asal ‘usul’ kita adalah juga satu usaha untuk kembali kepada fitrah semulajadi kita seperti mana yang menjadi matlamat kita berpuasa.
Jadilahkan amalan ‘balik kampung’ sebagai satu ibadat untuk memenuhi tuntutan agama....