Sunday, January 18, 2009

Wahai Suami, Siapakah Isteri Anda?....

WAHAI SUAMI...SIAPAKAH ISTERI ANDA?......
Kalau saya tanya pada anda selaku suami soalan di atas, apa agaknya reaksi anda? Mungkin jawapannya, saya dah bercinta 2 tahun sebelum kahwin, saya dah mula tertarik pada dia sejak tahun satu di Universiti, kami ada kaitan saudara, kami dah berkawan sejak tadika lagi dll , maka sudah sudah tentu saya kenal isteri saya seperti saya kenal diri saya sendiri. Ada juga pasangan yang ditemukan jodoh oleh ibu bapa, namun pasti mendakwa mengenali isterinya sekurang-kurangnya dalam tempoh pertunangan. Bahkan kalau ditemubual masa nak kahwin atau baru kahwin, tentu lelaki itu akan kata, dia dah bertemu pasangannya yang akan sehidup semati, orang yang paling sesuai dan sehati sejiwa dengannya, dan lain-lain ungkapan yang menggambarkan pasangan ini sangat rapat dan mengenali antara satu sama lain. Ada pasangan yang semasa bertunang sudah meluahkan semua maklumat peribadinya kepada pasangan masing-masing hingga bila dah kahwin tak ada lagi maklumat yang nak disampaikan. Begitu sekali suami pasti akan mendakwa benar-benar kenal isterinya.
Secara teorinya pasangan suami-isteri mengambil masa antara 1 hingga 5 tahun untuk benar-benar mengenali pasangan masing-masing. Dengan sebab itu kadar perceraian paling tinggi dalam tempoh berkenaan. Kalau melepasi tempoh berkenaan, biasanya OK. Mengenali bakal isteri dalam tempoh percintaaan, sebenarnya hanya mengenali separuh dari isteri, sementara itu sebahagian lagi akan dikenali bilamana lelaki tadi sudah menjadi suami yang datang bersama-samanya tanggongjawab sebagai suami. Semasa kursus perkahwinan, perkara ini pasti telah disentuh oleh penceramah. Namun begitu, antara teori dan pelaksanaan, banyak bezanya.
Kalau seorang suami dikatakan tak kenal isterinya tentu dia marah, rasa tercabar dan egonya akan membakar. Lelaki dikatakan memiliki ego yang dikaitkan dengan kemampuan untuk memimpin. Al-Quran dengan jelas meletakkan status pemimpin kepada lelaki dalam rumahtangga. Tetapi, status ini bukanlah sesuatu yang datang dengan percuma dan secara ‘warisan’. Peranan dan jawatan ini datang bersama-sama tanggongan yang berat dan menuntut sisuami melengkapkan diri dengan ciri-ciri kepimpinan. Kalau nak dakwa sebagai pemimpin semata-mata atas gelaran suami, itu muka tak malu namanya. Ada suami yang tak menunaikan nafkah dengan sempurna, bahkan ada yang sanggup memukul isteri pada siang hari dan pada malam hari ingin bersama dengan isterinya. Isteri kena juga taat kerana itu tanggongjawabnya selagi tidak disuruh melakukan sesuatu yang menderhakai Allah. Kalau gaduh sikit-sikit itu masih boleh diterima sebagai asam garam rumahtangga. Kalau seseorang suami benar-benar kenal isterinya, ia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang buruk keatas isterinya. Kalau pasangan ini sudah tidak serasi lagi maka jalan akhir yang perlu ialah bercerai, itupun dilakukan dengan baik.
Sebenarnya, terdapat dua aspek yang perlu diketahui oleh suami sebalum ia dikatakan benar-benar kenal isterinya. Kedua-dua aspek itu adalah seperti berikut:
1. Mengenali status dan kedudukan isteri
2. Mengenali isteri itu secara luar dan dalamnya secara peribadi
Artikel berikutnya saya akan sentuh tentang status dan kedudukan isteri untuk dikenali dan dinilai oleh suami masing-masing.

Friday, January 9, 2009

Lelaki Dalam Pelbagai Wajah: Menilai Tanggongjawab Dan Hak..

Lelaki Dalam Pelbagai Wajah: Menilai Tanggongjawab Dan Hak..

Lama saya tidak menulis dalam blog ini, kalau ditanya sebab apa, jawapan yang tipikal/biasa diberi ialah sibuk. Datuk Naib Canselor UM yang baru sebut kalau hendak menjayakan sesuatu kerja berilah kepada yang sibuk, InsyaAllah kerja akan jadi. Lama sebelum ini Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi banyak kali pesan pada saya perkara yang sama, dan saya memperakui kebenaran perkara ini. Tentu ramai di kalangan kita yang mengakui kebenaran teori ini. Kelemahan kita sebenarnya ialah bagaimana menguruskan masa dan kerja, kerana kerja, tugas dan tanggongjawab hanya akan tamat bila kita mati. Imam Hasan Al-Banna pernah mengatakan bahawa kerja lebih dari masa yang ada. Kesibukan dan banyak kerja membuat kita sentiasa ‘alert’ / sedar dan neuron dan sel dalam otak akan bergerak cergas. Otak manusia seperti juga anggota fizikal yang lain, kalau tak ada senaman/gerakan, ia akan semakin lemah, akhirnya kaku. Pengajarannya, jangan lagi gunakan alasan sibuk untuk melakukan sebarang amal soleh dan berilah kerja pada orang yang sibuk. Islam sentiasa meminta kita mengisi hidup dengan perkara-perkara yang berfaedah sepanjang masa, termasuklah berfikir tentang kebesaran Allah. Dengan sebab itu juga Rasulullah menyebut yang bermaksud:”Amalan yang paling disukai Allah ialah yang berterusan/Dawaam walaupun sedikit”. Melakukan amalan soleh walaupun banyak untuk tempoh singkat, tidak digalakkan kerana ia membawa kepada jemu dan tidak dapat memelihara ketenangan dan kejernihan hati.
Berbalik pada tajuk blog ini……
Muqaddimah
Beberapa minggu lalu (28 Nov. 2008) tajuk Forum Perdana Hal Ehwal Islam ialah ‘Dua Wajah’ dengan ahli panel Datuk Hashim Yahaya, Ust. Ahmad Shukri dan Ustazah Zawiyah. Tajuk forum ini memberi fokus kepada perlunya keikhlasan dalam memberikan sesuatu sumbangan dan tidak boleh mempunyai pelbagai wajah yang bermaksud adanya perbezaan antara ‘wajah’ di luar dan ‘wajah’ di dalam. Tajuk artikel saya ini hampir sama tetapi membawa maksud yang langsung berbeza. Tajuk ini masih dalam skop mencari atau menjadi suami yang ‘sempurna’.
Secara prinsipnya, samada lelaki atau wanita, Allah sudah menjanjikan peluang yang sama untuk memperolehi kebajikan. Allah yang Maha Adil menyediakan peluang yang sama tanpa mengira jantina untuk mendapat pahala. Dalam Surah Ali `Imran ayat 195 firman Allah yang bermaksud: “Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya dengan berfirman:Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan, kerana sebahagian kamu adalah turunan sebahagian yang lain”.
Firman Allah dalam Surah Al-Nisa’ ayat 32 yang bermaksud: “Orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan”. Perkara yang sama ditegaskan oleh Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 35 dan surah Al-Taubah ayat 71-72.
Pada masa yang sama juga terdapat peluang untuk beramal soleh secara khusus yang dibuka berdasarkan jantina, seperti peranan suami atau isteri dalam rumahtangga. Perbezaan tugas dan amalan soleh ini pada hakikatnya satu proses untuk lengkap melengkapi antara lelaki dan wanita.
Allah juga memberi amaran bahawa samada, lelaki dan wanita, mereka juga terdedah kepada dosa dan maksiat tanpa mengira jantina ini.
Lelaki Dalam Pelbagai Wajah
Seseorang lelaki itu mempunyai pelbagai wajah bergantung kepada tanggongjawab dan hak. Tanggongjawab dan hak ini adalah berdasarkan kepada kedudukan dan statusnya. Tanggongjawab dan hak adalah dua ‘entiti’ yang tidak dapat dipisahkan walaupun tidak semestinya wujud bersama sepanjang masa. Pada prinsipnya, seseorang yang ada tanggongjawab, maka ia ada hak tertentu dan begitulah sebaliknya. Biasanya semakin besar tanggongjawab, maka semakin besarlah haknya. Seorang Perdana Menteri mempunyai tanggongjawab yang amat besar dan pada masa ada hak untuk buat keputusan yang besar juga.
Seseorang lelaki itu biasanya mempunyai kedudukan antara lain seperti berikut: seorang ayah, datuk, suami, anak lelaki, adik beradik lelaki, dan ahli masayarakat lelaki. Inilah yang saya maksudkan dengan pebagai wajah. Di dalam setiap kedudukan ini, ada tanggongjawab dan hak tertentu bagi lelaki berkenaan. Untuk menjadi insan lelaki yang sempurna, ia perlu menyempurnakan tanggongjawab dalam semua wajah ini. Sudah tentu ini bukan sesuatu yang mudah. Ia perlu menjadi ayah yang sempurna, datuk yang sempurna, sehinggalah ahli masyarakat lelaki yang sempurna. Dalam kebanyakan keadaan, seseorang lelaki itu tidak mampu untuk menyempurnakan keseluruhan tugas ini dalam pelbagai wajah tersebut. Selalunya kalau ia memberi penekanan yang lebih kepada hal ehwal keluarga sehingga dipanggil house-husband atau family- man, maka tanggongjawabnya kepada orang lain dan masyarakat akan terjejas. Begitulah juga, seorang lelaki yang menjadi ‘public figure’, pemimpin masyarakat dll, maka tanggongjawabnya kepada keluarga selalunya akan terjejas. Bagi menyempurnakan dan merealisasikan kesemua tanggongjawab ini, Islam telah mengaturkan sistem yang disebut fardu `Ain dan fardu Kifayah. Ada perkara yang mesti dilakukan oleh setiap orang tanpa kecuali dan ada perkara yang memadai jika telah ada orang lain melakukannya. Begitu juga Islam mengaturkan dalam rumahtangga bidang tugas suami dan isteri supaya masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain. Kalau seseorang wanita mendapat suami yang banyak tugas di luar dan masyarakat, maka ia perlu lebih banyak berkorban untuk mengatur rumahtangga. Begitu juga jika seorang lelaki mendapat isteri yang perlu membantu suami dengan bekerja, berjawatan besar, diperlukan kerana kepakaran2 khusus, ada komitmen tinggi di tempat kerja, ‘public figure’ dll, maka suami yang memberi keizinan tersebut perlu mencari jalan untuk mengatur rumahtangganya, bagi mengimbangi antara hak /tanggongjawab suami dan isteri masing-masing. Selagimana semua ini dalam lingkungan Syarak, maka Islam memberi peluang menggunakan kreativiti untuk menyempurnakan kehidupan rumahtangga tersebut. Yang penting, siisteri jangan sampai nusyuz pada suami, dan suami tidak menjadi suami yang dayus....
Insan lelaki yang sempurna hanya Rasulullah S.A.W. Dengan sebab itu, keperibadian Baginda Rasulullah jika dikaji dari aspek/wajah apa sekalipun, tidak ada kecacatannya. Baginda sebagai seorang suami, ayah, jiran tetangga, sahabat, pemimpin Negara, pengurus masyarakat, dan lain2 tugas baginda, tidak ada kekurangannya hingga Allah mengabadikan dalam Al-Quran bahawa baginda adalah sebaik-baik contoh teladan dalam semua hal. Janganlah kita mencari contoh yang lain, kecuali yang Rasulullah sendiri memberikan pengiktirafan kepada orang tertentu yang boleh dicontohi… jika tidak kita akan kecewa, kerana sebagai manusia biasa pasti kita ada kekurangan..
Menilai tanggongjawab dan hak Lelaki
Biasanya untuk menilai seseorang lalaki itu, kita perlu merujuk kepada siapakah pihak yang mempunyai hak daripada orang lelai berkenaan. Seseorang ayah ada tanggongjawab ke atas anaknya. Begitulah seorang anak ada tanggongjawab keatas ibu/ayahnya. Dan demikianlah seorang suami mempunyai tanggongjawab kepada isterinya. Sudah tentu untuk menilai seseorang suami, maka isterinya merupakan orang yang paling layak untuk membuat penilaian. Untuk menilai kedudukan anak, ibu/bapa adalah orang yang terbaik. Dengan syarat siisteri yang membuat penilaian tadi juga menggunakan kriteria penilaian yang betul dan juga wanita solehah. Dengan menggunakan neraca penilaian yang betul, kedudukan seseorang lelaki itu samada ia seorang suami, ayah, anak dll dapat dikenalpasti samada ia adalah lelaki yang baik atau tidak. Dalam artikel berikut saya akan hanya fokus kepada kedudukan lelaki sebagai suami….